JANUARI 2024

Sarawak Fokus Bangunkan Tenaga Hijau, Stabilkan Politik


KUCHING: Memberi tumpuan kepada rancangan peralihan tenaga hijau dan menstabilkan politik di peringkat nasional adalah antara yang dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, lima bidang yang boleh menghasilkan tenaga diperbaharui iaitu tenaga hidro, tenaga solar, tenaga angin, biomass dan terbaharu empangan melata.

“Empangan melata berpotensi besar sebagai tenaga diperbaharui, manakala untuk tenaga biomass, Sarawak akan menanam lebih banyak pokok untuk menghasilkan pellet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan parti, Dato’ Sri Fadillah Yusof, dua Timbalan Yang di-Pertua parti merangkap Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pemimpin MT yang lain.

Abang Johari berkata, Sarawak yang ke hadapan dalam rancangan tenaga diperbaharui mempelawa Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan tenaga hijau di Sarawak.

Kerajaan Persekutuan memberi kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof bagi membantu membangunkan industri tenaga di Sarawak yang dilihat lebih ke hadapan, katanya.

Sarawak, katanya, telah mengenali pasti Sungai Gaat di Baleh dan Sungai Tunoh, Kapit sebagai tapak membina empangan melata bagi menjana tenaga boleh diperbaharui.

Untuk membangunkan tenaga diperbaharui itu, tambahnya, Sarawak perlu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan berilmu.  

“Oleh itu, kita akan menyediakan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di sini pada 2026.

Mengenai politik, Premier Sarawak menegaskan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memain peranan dalam menstabilkan politik di peringkat nasional untuk membolehkan kerajaan menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan negara.

“GPS berkehendakkan kestabilan untuk memulihkan ekonomi dan berharap pihak-pihak berkenaan mengurangkan ketegangan politik,” tegas beliau.

Beliau menambah, Malaysia mempunyai ramuan untuk terus membangunkan negara jika politiknya stabil.

Dalam pada itu, katanya, Sarawak akan turut memperkenalkan kaedah pilihan supaya penduduk di pedalaman juga mendapat akses kepada kemudahan Pangkalan Data Utama (PADU).

Sumber dari : Jiwa Bakti